thumbnail

Pengenalan

LATAR BELAKANG SMKA

Sejarah penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bermula pengambilalihan 11 buah Sekolah Agama Negeri dan Rakyat oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1977. Dari 11 buah sekolah SMKA telah berkembang kepada 55 buah SMKA.

Idea penubuhan SMKA diilhamkan oleh Pengarah Bahagian Agama Kementerian Pelajaran ketika itu, Allahyarham Tuan Haji Nik Mohamad Mohyidden bin Haji Wan Musa. Hal ini memang menjadi hasrat Kementerian Pelajaran dan hasrat masyarakat Islam yang sedar akan faedahnya. Sebelum ini beberapa langkah diambil dengan memberi bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan mencadangkan sekolah-sekolah itu mempraktikkan sistem baru.

Penubuhan SMKA seiring dengan usaha pemodenan sistem pendidikan negara. Proses penambahbaikan sistem pendidikan Islam di sekolah-sekolah agama sesuai dengan perkembangan masa. Justeru, ilham Allahyarham Haji Nik Mohammad Mohyidden bin Haji Wan Isa telah direalisasikan oleh Tan Sri Dato’ Paduka Dr. Abdul Hamid bin Othman dan Dato Zainal Abidin bin Haji Abdul Kadir.

Pada tahun 1970-an sekolah-sekolah menengah agama rakyat kurang mendapat sambutan kerana sistem pentadbirannya yang tidak teratur dan kekurangan prasarana. Pada masa yang sama, kesedaran masyarakat terhadap pendidikan semakin meningkat. Oleh itu Kementerian Pelajaran ketika itu telah berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia agar sistem pentadbiran dan kurikulum di sekolah-sekolah agama diselaraskan dengan sekolah menengah harian.

Kebanyakan sekolah agama sebelum ini menitikberatkan Pengajian Islam dan Bahasa Arab sahaja tanpa memberi perhatian kepada mata pelajaran lain seperti yang wujud di Sekolah Menengah Kebangsaan misalnya mata pelajaran Sains, Matematik, Geografi dan lain-lain. Fenomena ini berlaku kerana sekolah-sekolah agama tidak berkemampuan untuk menyediakan bilik-bilik makmal yang mahal harganya. Implikasinya lulusan daripada sekolah agama kurang mampu untuk bersaing dalam pasaran sumber tenaga manusia dan cabaran masyarakat semasa.

Impaknya membawa kepada perubahan sistem pendidikan di sekolah agama yang pertama dilaksanakan di Kolej Islam Kelang sebagai projek rintis. Kurikulum bersepadu yang menitikberatkan identiti Islam telah mendapat kejayaan yang sungguh memuaskan. Pelajar-pelajar lulusan kolej tersebut bukan sahaja berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam malahan dalam bidang Sains, Sastera, Ekonomi, Kejuruteraan, Perubatan dan lain -lain lagi.

Kejayaan projek rintis itu telah mendorong Kementerian Pelajaran Malaysia memperluaskan rancangan ini ke sekolah-sekolah menengah agama yang lain. Kementerian telah berusaha untuk mengambil alih Sekolah Menengah Agama Rakyat sejak tahun 1973, tetapi tertangguh akibat beberapa hal yang tidak dapat dielakkan sehinggalah pada 1 Januari 1977. 11 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat yang diambil alih ialah Madrasah Alawiah Diniah (SMKA (L) Alawiah), Madrasah Alawiah Diniah (SMKA (P) Alawiah) Kangar, Perlis, Maahad Hamidiah, (SMKA Maahad Hamidiah) Kajang, Selangor, Maahad al-Irshad (SMKA al-Irshad) Pulau Pinang, Sekolah Menengah Agama Tinggi (SMKA Hj Sheikh Mohamad Said ) Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Agama Perempuan ( SMKA Sharifah Rodziah) dan Sekolah Agama Lelaki (SMKA Sultan Muhammad ) Melaka, Sekolah Agama Tok Jiring ( SMKA Tok Jiring ) Terengganu, Madrasah Agama Falahiah ( SMKA Falahiah ) dan Madrasah Naim Lil Banat, Kelantan dan Maahad Muar (SMKA Maahad Muar ) Johor.

Di samping itu, Kementerian Pelajaran juga telah menubuhkan dua buah SMKA iaitu SMKA Limauan di Sabah dan SMKA Matang di Sarawak. Setiap SMKA mempunyai sejarah awalnya yang tersendiri sebelum diambil alih oleh Kementerian Pelajaran. Sebagai contoh SMKA Tok Jiring, Terengganu diambil alih daripada sekolah yang mengamalkan sistem pondok yang diberi percuma kepada pelajarnya. SMKA Maahad Muar, Johor bermula sebagai agama rakyat yang bangunan sekolahnya terbina hasil wang wakaf. Sementara SMKA Naim Lil Banat, Kelantan bermula dengan pengajian secara menumpang di rumah Haji Yahya Daud seorang tokoh agama sebelum mendapat bangunan sendiri.

Struktur bangunan yang pelbagai mewarnai sejarah penubuhan asal SMKA seluruh Malaysia. SMKA Sibu pada asalnya merupakan bangunan kayu yang beratapkan asbestos sebelum mempunyai bangunan kekal yang menarik. SMKA Batu Rakit pada asalnya merupakan sebuah bangunan pasar (1958) yang telah diubahsuai secara bergotong-royong. Sementara SMKA Sandakan pula memulakan pengajian menumpang di bangunan kilat SMK Elopura. SMKA Simpang Lima pula pada asalnya dicadangkan sebagai Sekolah Vokasional (Pertanian) tetapi telah menjadi sekolah menengah harian biasa dan akhirnya ditukarkan kepada SMKA. SMKA Tun Ahmad Zaidi bermula dengan nama Sekolah Menengah Bantuan Majlis Agama Islam Sarawak yang dibuka pada tahun 1990 telah mempunyai bangunan baru yang tersergam indah yang berkonsepkan integrasi Islam, berbentuk oktagon dan berarahkan kiblat yang menjadi tarikan pengunjung dalam dan luar negara.

Kementerian Pendidikan juga telah mendirikan bangunan-bangunan baru untuk SMKA antaranya SMKA Falahiah (1983) SMKA Maahad Hamidiah (1984) SMKA Kuala Selangor (1985) SMKA Syeikh Abdul Malek (1987) SMKA Segamat (1988) SMKA Melor (1991) SMKA Sandakan (1992) SMKA Slim River (1993) SMKAK Nurul Ittifaq (1994) SMKA Pedas (1996) SMKA Kuala Lumpur (1997) SMKA Igan (1998) dan SMKA Tun Said, Kota Belud (2000).

Keperihatinan Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap pembangunan di SMKA sentiasa berterusan. Hal ini terbukti dengan penambahan peruntukan dari semasa ke semasa. Implikasinya prasarana di SMKA bertambah baik dan struktur pentadbiran menjadi lebih sistematik. Kerajaan telah menyediakan bangunan teknologi kejuruteraan bagi SMKA yang menawarkan Pakej Pengajian Islam – Teknologi di SMKA Johor Bahru, SMKA Baling, SMKA Slim River, SMKA Kuala Selangor, SMKA Sultan Muhammad, SMKA Tok Jiring, SMKA Wataniah Terengganu, SMKA Syeikh Abdul Malik, SMKA Nurul Ittifaq, SMKA Sibu dan SMKA Kota Kinabalu.



user-avatar
Today is Friday
25 July, 2014